MASIH terngiang-ngiang di ingatan Ang Seng Chin, 62, sewaktu disahkan oleh doktor di sebuah hospital swasta yang dia menghidap strok 13 tahun lalu.
Keadaannya yang lumpuh sebelah kanan badan, membuatkan dia berasa tidak berdaya dan takut menyelubungi dirinya.
Tambahan apabila khabar itu disampaikan oleh seorang doktor dengan agak kasar, membuatkan dia terkedu mengenangkan nasib yang menimpa dirinya.
Dia dibenarkan keluar wad tetapi ujar doktor tersebut; "...maut menantinya kerana tiada apa-apa yang boleh dilakukan untuk memulihkan sakitnya yang semakin parah."
Ketika itu dia berasa takut dan sedih yang teramat. Bayangkan seorang doktor boleh berkata demikian terus di hadapannya tanpa memikirkan langsung perasaannya.
"Pada mulanya rasa putus asa dan hanya mampu menyerah kepada takdir, maklumlah maut menanti saya dalam waktu terdekat.
"Namun atas sokongan keluarga, pelbagai cara dilakukan bagi memulihkan keadaan saya termasuklah rawatan tradisional Cina iaitu akupuntur," katanya.
Kini selepas 13 tahun berlalu, pemilik Agensi Pelancongan Asia Pacific Travel Sdn. Bhd. ini gembira kerana semakin pulih dan dapat menikmati hidup penuh berkualiti dengan melakukan apa sahaja yang disukainya.
Akupunktur adalah satu kaedah rawatan tradisional purba yang dipraktikkan sejak 5,000 tahun dahulu dan masih popular sehingga kini.
Malah negara barat turut mengakui kepentingan kaedah rawatan ini sebagai satu alternatif baru dalam dunia perubatan moden dan mampu menghilangkan kesakitan tanpa menggunakan sebarang dadah atau racun.
Selain strok, rawatan akupuntur turut dapat merawat kesakitan urat saraf, migrain, lumpuh, kanser, kesan kemalangan, sakit pinggang dan sakit lutut di kalangan orang tua, gastrik, kebas-kebas kaki atau tangan dan lain-lain.
Cerita Seng Chin, pada awalnya kerusi roda menjadi peneman setianya setiap hari memandangkan dia tidak mampu berjalan akibat serangan strok.
Apabila mula melakukan rawatan akupuntur iaitu tusukan jarum halus di tempat-tempat tertentu badan, dia mula pulih sedikit demi sedikit sehinggalah mampu berjalan dengan bantuan tongkat.
Setiap kali sesi rawatan, berpuluh-puluh jarum halus ditusuk pada bahagian yang sakit bagi mempengaruhi fungsi fisiologikal dan psikologikal seseorang.
Isterinya, Yang Hee Chow, 56, sentiasa membantunya memberikan semangat bagi melawan sakitnya itu.
Isterinya, Yang Hee Chow, 56, sentiasa membantunya memberikan semangat bagi melawan sakitnya itu.
"Sehingga satu tahap saya sudah boleh berjalan tanpa bantuan tongkat lagi tetapi saya masih takut untuk berjalan tanpanya kerana risau jatuh.
"Kalau tidak kerana isteri saya bertegas memastikan saya berjalan sendiri, rasanya saya masih bergantung kepada tongkat," katanya.
Dalam pada itu, dia berkata, senaman amat penting bagi mereka yang berdepan dengan masalah strok.
"Jangan biarkan diri anda berasa lemah," ujarnya.
Akupuntur percumaSetelah kembali pulih, Seng Chin menjalani kehidupan seperti biasa malah rancak menguruskan agensi pelancongannya yang terletak di Petaling Jaya.
Sehinggalah tahun lalu apabila dia sekali lagi diserang strok akibat tidak menjaga pemakanan membuatkan dia kembali lumpuh dan kini di sebelah kiri pula. Lebih malang apabila isterinya turut mengalami nasib sama membuatkan mereka berdua sukar bergerak.
Sejak itu, Seng Chin kembali menjalani rawatan akupuntur secara intensif bersama isterinya beberapa kali setiap minggu.
Setiap kali rawatan akupunktur menelan kos antara RM30 hingga RM150 setiap sesi bergantung kepada penyakit.
Mujur mereka menemui perkhidmatan akupuntur mingguan yang dilakukan secara percuma anjuran Persatuan Suara Wanita, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah memulakan perkhidmatan sejak 25 Ogos lalu.
Kebetulan, perkhidmatan tersebut dijalankan di hadapan pejabat mereka iaitu di pejabat Rukun Tetangga Seksyen 21 Sea Park dari pukul 2 hingga 5 petang setiap Sabtu.
Rawatan akupuntur itu dikendalikan seorang tabib Cina, Chew Wah Chye, seorang mahasiswa perubatan tradisional Cina dari Universiti Guangzhou, China.
"Sedikit sebanyak rawatan percuma tersebut membantu memulihkan penyakit kami dan orang lain serta meringankan beban kewangan mereka," ujarnya yang gembira dengan rawatan percuma tersebut.
Menurut presiden persatuan, Chew Hoong Ling, servis akupuntur percuma mingguan itu dibuka kepada semua orang tanpa mengira bangsa mahupun status.
Selain rawatan akupuntur, mereka turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma seperti ujian tekanan darah dan tahap glukos dalam darah.
"Matlamat kami adalah memberi kesedaran penjagaan kesihatan kepada masyarakat dan harap dapat memperluaskan lagi usaha ini.
"Setakat ini, hanya seorang tabib yang menjadi sukarelawan kami dan diharap lebih ramai yang dapat menyertai usaha ini," ujarnya.
Rawatan akupuntur tersebut turut dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga Seksyen 21 Sea Park, Petaling Jaya, Kelab Sukan Komuniti Damansara Utama, 1Malaysia PJ Service Team dan Kelab Komuniti Kemajuan Selangor.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121209/kn_04/Hilang-lumpuh-kerana-akupuntur#ixzz3SjXxRBmp
© Utusan Melayu (M) Bhd